Gubahan Hantaran
Pautan Luar
Who's Online
Kami ada 4 tetamu online|
![]() ![]() ![]() Walaupun hantaran adalah salah satu adat resam turun temurun masyarakat Melayu, konsep gubahan hantaran kini sentiasa berubah mengikut peredaran masa. Pelbagai konsep gubahan hantaran menjadi pilihan bakal pengantin seperti konsep Inggeris, Moden, Tradisional dan sebagainya. Manakala warna-warna mewah seperti warna emas dan perak juga selalu menjadi pilihan pengantin yang bercitarasa tinggi. Konsep warna yang bersesuaian perlu dalam memastikan gubahan sepadan dengan tema sesuatu majlis perkahwinan. Untuk kelihatan lebih unik, hitam kadang-kala turut menjadi kegemaran sesetengah individu.
![]() ![]() ![]() Hantaran mewah atau sederhana adalah terpulang kepada keinginan individu, kemampuan dan juga perbincangan kedua-dua belah pihak.
|

Sudah menjadi lumrah adat Melayu, berbalas-balas hantaran antara pasangan di majlis pertunangan mahupun perkahwinan. Sehingga kadang-kala tidak sempurna rasanya majlis perkahwinan tanpa barang-barang hantaran. Selain Wang Hantaran dan Mas Kahwin, barang-barang hantaran juga tidak kurang pentingnya bagi memeriahkan lagi sesuatu majlis perkahwinan. Ia membawa maksud hadiah kepada pasangan dan juga sebagai tanda kasih sayang. Biasanya jumlah dulang hantaran yang dibawa untuk majlis perkahwinan akan lebih banyak berbanding jumlah hantaran semasa majlis pertunangan dan selalunya jumlah dulang yang dibawa kedua-dua pihak adalah dalam angka ganjil. Akan tetapi tidaklah menjadi suatu kesalahan sekiranya dulang hantaran yang dibawa berangka genap. Ianya hanya sekadar adat untuk menggambarkan keunikan bangsa Melayu.





Barang-barang seperti barang kemas, alat solek, wangian, jam tangan, beg tangan, pakaian, buah-buahan dan kek selalu menjadi pilihan ketika menyenaraikan senarai barang-barang hantaran. Ada juga pasangan yang lebih berkemampuan memilih barang-barang yang lebih mewah untuk dijadikan sebagai hantaran seperti telefon bimbit, kunci kereta dan sebagainya. Akan tetapi semua itu terpulang kepada individu untuk menentukannya dalam memastikan kelancaran sesebuah majlis perkahwinan. Diharap dengan beberapa contoh gubahan hantaran perkahwinan serta koleksi gubahan hantaran perkahwinan yang kami paparkan dapat menyumbang sedikit idea dan informasi berguna buat pengunjung kami.